Kenyataan agensi, jabatan di Melaka perlu kelulusan SUK

Kenyataan agensi, jabatan di Melaka perlu kelulusan SUK

ZAIDI Johari (tiga dari kiri) bersama Rahmad Mariman (empat dari kiri) pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Tabung Pahlawan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebarang hebahan atau kenyataan daripada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri perlu mendapat kebenaran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka terlebih dahulu.

SUK Melaka, Datuk Zaidi Johari berkata, kebenaran itu penting agar kenyataan yang dikeluarkan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

Jelas beliau, agensi atau jabatan tidak perlu menyediakan permohonan secara bertulis, sebaliknya boleh berhubung secara terus dengan pihaknya.

“Mereka perlu dapatkan kelulusan daripada SUK dahulu. Sekiranya dibenarkan mengeluarkan kenyataan umum berkaitan agensi kerajaan atau masalah di jabatan, maka itu dibolehkan.

“Tidak perlu surat menyurat dan sebagainya dan jika SUK melihat perkara itu boleh diterbit atau diuar-uarkan, kita akan beri kebenaran.

“Bagaimanapun, bagi kenyataan yang melibatkan operasi agensi atau jabatan seperti khalwat yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kita serahkan kepada pengarah untuk beritahu kepada orang ramai. Jika mereka fikirkan perkara itu boleh diumumkan,  kita akan benarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Tabung Pahlawan di Seri Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memaklumkan, perkara itu termaktub dalam peraturan sedia ada yang masih berkuat kuasa mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam di bawah Kelakuan dan Tata Tertib 1993.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan bertujuan untuk mempertahankan prinsip-prinsip berkecuali dan kesaksamaan dalam perkhidmatan awam.

“Saya menegaskan dan mengingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam negeri untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“Saya berharap penekanan yang serius ke atas perkara ini perlu diberikan serta mengingatkan semua ketua jabatan agar dapat memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya