SERDANG: Kerajaan mahu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dapat terus menjadi agen perubahan serta ‘mata dan telinga’ antara rakyat dan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kemas sejak sekian lama menjadi benteng barisan hadapan kerajaan, malah kewujudan agensi itu sendiri bertujuan memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Justeru, warga Kemas perlu aktif mendapatkan maklum balas tentang pelbagai isu dilontarkan masyarakat di peringkat umbi dan memanjangkannya kepada pengurusan tertinggi serta kementerian selain menyebar luas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat luar bandar.
“Sebagai agen perubahan, anggota Kemas hendaklah melengkapkan diri dalam segala ilmu dan kemahiran terutama dalam bidang yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Kemas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Kemas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), hari ini.
Katanya, sejak 60 tahun lalu, kewujudan Kemas amat penting dalam membantu negara membangunkan modal insan terutamanya di kawasan luar bandar.
Ismail Sabri berkata, khidmat dan bakti warga Kemas tidak boleh disangkal mana-mana pihak, malah peranan agensi itu akan terus diperkasa dengan menumpukan kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti dan mampu melahirkan generasi berkeyakinan tinggi dan cemerlang.
Menurutnya, penubuhan awal Kemas pada tahun 1961 melalui Program Rancangan Pelajaran Dewasa adalah bertujuan membasmi masalah buta huruf melibatkan hampir dua juta orang dewasa ketika itu sehingga menjejaskan proses pembangunan negara.
“Jika pada tahun 1970 hanya 75 peratus sahaja rakyat Malaysia yang boleh membaca dan menulis, namun kini kadar literasi meningkat kepada hampir 95 peratus.
“Pada masa sama, Kemas juga menjadi agen perubahan minda masyarakat luar bandar bagi memastikan mereka menerima arus perubahan dan pembangunan progresif,” katanya.
Katanya, pada usianya menjangkau enam dekad, Kemas perlu terus menyokong aspirasi negara bagi melahirkan modal insan berkemahiran yang berkualiti termasuk menganjurkan kursus-kursus dan bimbingan kemasyarakatan.
Jelasnya lagi, langkah ini membolehkan masyarakat menimba ilmu dan mengasah kemahiran secara berterusan yang akhirnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan kemajuan kawasan setempat selain membentuk warganegara yang kompeten dan kompetitif. – UTUSAN