Keluhan peniaga pisang goreng

Keluhan peniaga pisang goreng

SITI SAERA Sapri meletakkan pisang goreng yang siap dimasak di atas para untuk dijual kepada pelanggan sekitar Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kelompok peniaga pisang goreng di negeri ini mengeluh dengan harga minyak masak yang masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk turun.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Masjid Tanah di sini mendapati, meskipun dihimpit kenaikan kos mendadak, rata-rata peniaga terpaksa mengekalkan harga lama kerana bimbang kehilangan pelanggan.

Seorang peniaga, Siti Saera Sapri, 35, berkata, perniagaan berkonsep ‘goreng-gorengan’ seperti itu sebenarnya menelan belanja besar kerana menggunakan hampir 24 kilogram (kg) minyak masak sehari untuk tiga kuali.

Katanya, jika menggunakan minyak masak peket bersubsidi, dia memerlukan satu setengah kotak atau bersamaan RM63 sehari, namun kos itu naik mendadak mencecah RM210 sehari apabila menggunakan minyak masak botol, berdasarkan harga semasa.

“Macam mana kami hendak berniaga jika kos bertambah hampir tiga kali ganda? Penjaja kecil seperti saya tidak mampu menggunakan minyak botol setiap hari, itu hakikatnya yang perlu kerajaan ambil perhatian dan teliti.

“Itu belum lagi ambil kira kenaikan kos barang lain seperti tepung, kicap dan pisang. Buat masa ini saya masih jual tiga ketul pisang goreng RM1. Tetapi kalau keadaan mendesak, memang tak balik modal.

“Peniaga boleh naikkan harga, tetapi bagaimana dengan pembeli yang kebanyakannya golongan B40? Tindakan ini sangat berisiko kepada penjaja kecil kerana rakyat akan fikir banyak kali kalau nak makan pisang goreng,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, selaras dengan kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini, para pengguna dijangka menikmati penurunan harga tersebut bermula minggu ini.

Jelasnya, beliau tidak menolak harga minyak masak bakal kembali seperti sebelum ini iaitu di bawah RM30 bagi botol lima kg, berdasarkan situasi penurunan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) di pasaran.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nur Amalina Aqilah Roslin, 25, mengakui, dia juga dalam dilema untuk mengekalkan harga lama, susulan kenaikan minyak masak botol berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Katanya, pernah terdetik di fikirannya untuk berhenti berniaga pisang goreng buat sementara waktu untuk menanti harga kembali stabil.

“Kenaikan harga jualanmenjejaskan perniagaan kerana pelanggan tidak mahu membeli. Sekarang pun pelanggan sudah berjimat cermat dan tidak membeli dalam kuantiti banyak seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya