Kata negatif bukan halangan, cabaran penuntut cemerlang

Kata negatif bukan halangan, cabaran penuntut cemerlang

PENGERUSI Pengelola INSTEDT, Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan (dua dari kiri) menyampaikan anugerah graduan cemerlang kepada Mohamad Nafizzudin Abdul Isa sempena Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Meskipun pernah dilempar dengan kata-kata negatif oleh rakan sebaya kerana memilih bidang kejururawatan, ia tidak mematahkan semangat bahkan menjadi pendorong bagi seorang graduan Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) untuk menjadi penuntut cemerlang.

Mohamad Nafizzudin Abdul Isa, 23, yang merupakan penerima Anugerah Pengerusi Eksekutif INSTEDT berkata, kejayaan itu adalah hadiah untuk ibu bapanya dan keluarga yang selama ini sentiasa menyokongnya.

Dia yang kini bekerja di sebuah hospital swasta di Johor Bahru bersyukur niatnya yang mahu menamba lebih ramai jururawat dalam kalangan golongan lelaki tercapai.

“Saya ambil kursus kejururawatan kerana ketika menjaga pak cik yang sakit, saya dapati kurangnya jururawat lelaki yang dapat merawat pesakit lelaki. Jadi, dari situ saya nekad belajar dalam bidang Diploma Kejururawatan di INSTEDT.

“Tidak dinafikan memang ada suara-suara negatif kerana bidang ini dimonopoli oleh golongan wanita, namun saya abaikan sahaja dan buktikan kepada mereka bahawa lelaki juga boleh berjaya dan cemerlang dalam bidang ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas Majlis Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-15 di Lotus Desaru Beach Resort, di sini semalam.

Seorang lagi graduan yang turut menerima anugerah sama, Mufarrohah Naim, 23, berkata, usahanya selama ini dengan belajar bersungguh-sungguh nyata berbaloi meskipun pernah tidak tidur malam.

Graduan Diploma Perakaunan itu tidak dinafikan bidang yang diambil bukan mudah sehingga pernah hampir berputus asa.

“Namun, abang sering berpesan kepada saya niat belajar untuk apa. Jika kerana Allah teruskan sahaja dan belajar secara smart kemudian tawakal berserah kepada-Nya.

“Memang terkejut kerana dipilih menerima anugerah ini. Ternyata pengorbanan tidak tidur malam dan belajar sehingga lewat malam berbaloi dan kejayaan ini semuanya saya hadiahkan buat ibu serta ayah,” katanya.

Sementara itu, dua graduan yang menerima Anugerah Naib Canselor UITM, Nurul Nur Aiwan Kisra Azman, 23, dan Nursyafiqah Mohd. Jaffri, 22, turut bersyukur atas kejayaan tersebut.

Bagi Nursyafiqah, anugerah diterima sebagai balasan buat ibu bapanya yang berkorban mengeluarkan wang yang banyak untuk membiayai pengajiannya.

“Bila mula rasa malas untuk belajar saya akan mula ingat balik betapa ibu dan ayah telah korbankan wang yang banyak untuk belajar kerana saya tidak membuat pinjaman PTPTN. Saya tidak mahu sia-siakan apa yang mereka lakukan dan syukur hari ini saya dapat balas jasa mereka dengan kejayaan ini,” katanya.

Bagi Nurul Nur Aiwan pula, tindakan bapanya yang mahu dia mengambil bidang pengurusan pejabat berbanding grafik yang diminati ternyata mempunyai hikmah tersendiri.

“Mungkin berkat saya mengikut kata orang tua, doa mereka juga menyebabkan saya memperoleh kejayaan pada hari ini. Orang kata apa yang kita rasa baik untuk diri sendiri kadangkala sebaliknya dan apa yang kita rasa tidak baik untuk diri sebaliknya membawa kebaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya