Cik Bunga berpeluang hadir sebuah acara persembahan, baru-baru ini. Dalam ramai artis jemputan yang ada, ternampak pula kelibat penyanyi, Fieya Julia.
Terus-terang Cik Bunga cakap, pada awalnya memang tak perasan itu Fieya. Satu sebab, Cik Bunga terlupa yang dia sudah berimej baharu, bertudung dan lebih sopan penampilannya.
Memang manislah. Walaupun sudah berimej baharu, Cik Bunga rasa macam ada yang tak kena dengan penampilannya sekarang. Cuba berfikiran positif, mungkin dia tak pernah rujuk dengan mana-mana penata gaya agaknya. Mana tahu bukan?
Bagi Cik Bunga, bagus bila dia berpakaian lebih Muslimah. Tetapi, kalau sudah namanya artis dan menjadi orang yang dikenali, rasanya Fieya kena juga jaga bab pemilihan baju dan gaya yang bersesuaian.
Kalau silap pilih, memang nampak canggung, apatah lagi bila kena buat persembahan di khalayak. Orang akan tengok juga penampilan kita, selain cara persembahan.
Rasanya, ramai yang terkedu bila melihat Fieya macam tak berapa nak bersiap. Umpama sarung sahaja baju apa yang ada. Kasihan pula Cik Bunga tengok.
Iyalah, bila dah ada peluang buat persembahan di khalayak, inilah masanya untuk all out. Serlahkan penampilan diri. Bukannya nampak seperti tak bersedia nak bertemu peminat.
Sampaikan Cik Bunga terdengar orang di tempat duduk sebelah berbisik “eh kenapa Fieya macam minah motor yang baru balik kerja?”
Itu orang yang cakap. Bukan Cik Bunga ya! Harap Fieya dapat mengambil teguran ini dari sudut positif.
Mungkin Fieya perlu mengambil input ini demi memperbaiki imej sekarang. Bertudung tidak bermakna artis itu tidak boleh tampil bergaya. Tak perlu pun barangan berjenama, asalkan pandai membuat transformasi yang sesuai.
Apa yang penting, jangan nampak macam tak bersiap. Nak tak nak kena terima, kalau sudah namanya artis, orang tetap akan menilai.