PETALING JAYA: Pelakon, Fahrin Ahmad menasihatkan bakat baharu agar sentiasa menimba ilmu lakonan dan menjaga disiplin supaya mampu bertahan lama dalam industri seni.
Kongsi Fahrin, rupa sebenarnya tidak menjamin seberapa lama seseorang itu mampu bertahan dalam industri seni, sebaliknya keutamaan yang akan dicari dan diangkat adalah bakat sejati.
“Cakap soal relevan ini, tuah dan rezeki juga kita harus lihat. Tak kisah rupa macam mana, yang orang mahu adalah bakat sejati.
“Satu lagi karisma seorang bintang. Saya pasti, bagi ramai anak seni yang sudah lama bertahan, itu juga adalah satu misteri,” katanya yang hampir dua dekad bergelar anak seni.
Fahrin ditemui ketika pelancaran rancangan baharu TV3, Fit For Action iaitu program realiti pencarian bakat baharu dalam bidang seni lakonan.
Fahrin bakal bergandingan bersama Hunnymadu sebagai pengacara program yang menyaksikan 12 peserta beradu bakat lakonan demi merangkul kejuaraan pertama Fit For Action.
Mengulas lanjut, Fahrin berkata, ramai bakat baharu dilihat sukar membawa diri, terutama apabila melibatkan publisiti daripada rakan media.
“Mereka tidak pandai PR (perhubungan awam). Tak pandai bergaul. Saya lihat ada yang meminggirkan komunikasi, terutama dengan rakan media.
“Tidak kira tinggi mana kita terbang, jangan lupa di mana bumi dipijak. Sentiasa merendah diri,”katanya.