Kanak-kanak pesakit kanser darah MPAL perlu bantuan

Kanak-kanak pesakit kanser darah MPAL perlu bantuan

MUHAMMAD Ummar Mateen Muhamad Azlan disahkan menghidap kanser darah dan kini sedang dirawat di HPP, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Selepas anak keduanya, Muhamad Ummar Mateen Muhamad Azlan, 2, disahkan menghidap kanser darah (Mixed Phenotype Acute Leukimia), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, sudah menjadi rumah kedua buat keluarga Noor Shawani Zainol, 32.

Noor Shawani yang tinggal di Gurun, Kedah berkata, anaknya itu disahkan menghidap kanser berkenaan Januari lalu dan sejak itu keluarganya perlu berulang-alik dari Gurun ke HPP untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak Januari hingga sekarang saya tidak dapat kira berapa kali kami perlu berulang alik ke HPP sebab memang terlalu banyak masa kami dihabiskan di wad kanak-kanak di HPP.

“Saya hanya mengharapkan anak saya kembali sembuh dan mahu mendapatkan rawatan terbaik bagi mengubati kanser yang dihidapinya,” katanya di sini semalam.

Noor Shawani yang merupakan ibu kepada dua anak berkata, sebelum disahkan menghidap kanser, Muhamad Ummar Mateen sering diserang demam berpanjangan sehingga membuatkan anaknya itu tidak aktif.

Malah katanya, anaknya itu turut dikesan mengalami stroke pada 18 Ogos lalu kerana terdapat pembuluh darah yang tersumbat di kepala dan keadaannya perlu dipantau rapi oleh doktor di HPP.

Tambahnya, doktor yang merawat anaknya turut memaklumkan ubat pencair darah bagi penyakit storke tidak boleh segera diberikan sebaliknya perlu menunggu platlet darah Muhamad Ummar melangkaui aras 100.

Dalam pada itu, Noor Shawani yang merupakan seorang suri rumah berkata, pada masa ini suaminya, Muhamad Azlan Omar Baki, 36, yang bekerja sebagai mekanik terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi meneruskan rawatan anaknya di HPP.

“Kos berulang-alik dari Gurun ke HPP juga agak tinggi, saya pula tidak bekerja dan sekarang suami terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana cutinya telah habis digunakan.

“Kami juga ada terima bantuan daripada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) ketika anak saya disahkan menghidap kanser dan kami amat menghargai segala sumbangan kepada kami,” katanya.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga Noor Shawani, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Noor Shawani Zainol (158220797152) atau berhubung dengannya di talian 011-36733398. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya