‘Kami sudah penat, tolong dalamkan Sungai Skudai’

‘Kami sudah penat, tolong dalamkan Sungai Skudai’

MOHAMAD Ibrahim Sujiman menunjukkan barangan dan peralatan rumah yang musnah akibat banjir kilat di Kampung Laut Batu 10, Skudai Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini berharap pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan, khususnya semasa musim tengkujuh.

Zulkifli Mat Ahwan, 43, berharap kerajaan dapat melakukan kerja-kerja pendalaman dan pelebaran Sungai Skudai kerana ekoran semakin cetek kerana kaki terakhir dilakukan kira-kira 20 tahun lalu.

“Sejak lahir, saya memang sudah menetap di kampung ini, dan seingat saya memang kawasan ini akan ditenggelami air sekurang-kurangnya dua kali setahun. Setiap kali banjir kilat melanda, penduduk akan mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit, saya sendiri rugi lebih RM1,000 setiap kali banjir berlaku.

“Jadi, penduduk kampung ini berharap agar kerajaan dapat melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan juga pendalaman Sungai Skudai di kawasan ber­kenaan bagi mengelak kejadian banjir terus berulang kerana kali terakhir sungai itu didalamkan pada tahun 1990-an,” katanya ketika ditemui sedang membersihkan rumahnya akibat banjir kilat, petang semalam.

Zulkifli mengakui sudah pe­nat dan apabila setiap kali banjir kilat berlaku pelbagai barangan di rumahnya akan rosak.

“Seperti semalam, apabila saya dapati hujan agak lebat, saya segera mengalihkan ken­deraan ke kawasan tanah tinggi bagi mengelakkan kerugian le­bih besar. Cuma apabila banjir kilat berlaku, beberapa barang seperti peti sejuk, almari baju dan sofa sukar untuk disimpan di tempat tinggi kerana saiznya yang besar dan memakan ruang,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Wahid, 73, pula memberitahu, sebahagian penduduk kampung sudah pasrah dengan insiden banjir kilat yang berterusan melanda kawasan berkenaan.

“Seingat saya, banjir telah berlaku di kawasan kampung ini sejak tahun 1970-an lagi, saya sendiri telah berdepan masalah ini saban tahun dan sehingga kini saya sudah pasrah apabila ia terus-menerus berlaku.

“Jika diikutkan hati, memang mahu berpindah ke tempat lain namun kerana kekangan kewangan, majoriti penduduk kampung ini terus menetap di kediaman masing-masing. Tetapi, saya juga berharap agar kerajaan atau sesiapa sahaja dapat membantu mengurangkan masalah banjir kilat yang terus berlaku di kampung ini sejak puluhan tahun lalu,” kata warga emas berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Ibrahim Sujiman, 27, memberitahu, keluarganya menanggung kerugian besar akibat banjir kilat semalam selepas empat kenderaan ditenggelami air.

“Dua kereta dan dua motosikal, semuanya habis ditenggelami air akibat banjir kilat semalam. Selain itu pelbagai do­kumen dan barangan rumah tu­rut musnah.

“Kami ada membina stor yang agak tinggi. Jadi, apabila hujan lebat kami simpan barangan di stor terbabit namun banjir kilat semalam yang dianggarkan setinggi dua meter turut menenggelamkan kawasan stor. Jadi, barangan yang kami simpan di stor itu juga rosak,” katanya selain memberitahu sebahagian daripada struktur rumahnya turut musnah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya