PUTRAJAYA: “Petang ini kita tunggu lah macam mana, kalau keputusan buruk kita terima lah tapi perjuangan perlu diteruskan,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Perdana Menteri itu keluar dari Istana Kehakiman sebentar tadi sekitar pukul 3.05 petang untuk bertemu dengan para penyokong yang menunggu sejak dari awal pagi.
Secara tenang, Najib turut meminta supaya penyokongnya terus berdoa dan memohon yang terbaik untuk dirinya dalam keputusan rayuan akhir tersebut.
“Untuk penyokong-penyokong saya, saya ucap terima kasih kerana telah hadir untuk memberi sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada saya.
“Saya telah berusaha sedaya upaya, tapi nampaknya setiap apa yang saya pohon daripada mahkamah telah ditolak.
“Saya tidak tewas dalam kes ini (tetapi) saya tak dapat keadilan dan saya tak dapat seorang peguam mewakili saya dengan tempoh masa yang secukupnya untuk buat persediaan,” katanya kepada pemberita di pekarangan pintu belakang Istana Kehakiman di sini hari ini.
Dalam masa sama, Najib berkata, permohonan beliau untuk memohon penangguhan bagi rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd itu turut ditolak.
“Kali pertama dalam masa saya didakwa ini saya minta penangguhan selama tiga bulan tetapi itu pun telah ditolak (tetapi) kes lain mereka dapat penangguhan lebih daripada 70 kali tetapi dalam kes saya, sekali saya minta pun tidak diizinkan.
“Sekarang ini kita tunggu lah apa apa keputusan. Kalau keputusannya buruk (hari ini) saya minta maaf lah. Saya telah berusaha sedaya upaya, doa lah yang terbaik untuk saya dan yang penting sekali perjuangan kita perlu diteruskan’” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut meminta para penyokong untuk tidak berganjak dan terus memanjangkan doa buatnya selain tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.
Beberapa penyokong wanita turut dilihat mengalirkan air mata dan tidak dapat menahan sebak ketika bertemu Najib sebentar tadi. – UTUSAN