PUTRAJAYA: Tidak perlu ambil ujian memandu dan lesen memandu diperoleh dalam tempoh tiga hari.
Itu antara kandungan sebuah iklan palsu lesen memandu yang ditawarkan sindiket yang kini aktif di laman Instagram.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kenyataan akhbar berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan tawaran iklan lesen memandu itu dan mengesahkan ia palsu.
Menurutnya, iklan palsu yang dikesan menerusi pautan https://instagram.com/mydrivingschoolofficial?igshid=YmMyMTA2M2Y itu didapati menawarkan khidmat lesen memandu tanpa ujian komputer dan JPJ yang mampu diperoleh hanya dalam tempoh tiga hari.
“JPJ memandang serius sindiket ini dan siasatan lanjut dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Katanya, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih.
Tinjauan di pautan iklan palsu itu mendapati, akaun laman sosial berkenaan masih aktif dengan perkongsian terakhir dikesan 24 jam yang lalu.
Sebelum ini, JPJ turut mengesan iklan palsu itu yang dipromosikan menggunakan aplikasi Telegram.
Iklan itu menawarkan lesen terbang pada harga tertentu bermula dari RM350 hingga RM1,900,” katanya. – UTUSAN