BANGI: Akibat menanggung malu tidak dapat ke tanah suci, ada jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu terpaksa menumpang di rumah rakan buat sementara waktu.
Rata-ratanya tidak sanggup pulang ke rumah masing-masing selepas memaklumkan kepada jiran dan ahli keluarga tentang pemergian mereka ke Arab Saudi.
Wakil kumpulan jemaah itu, Mohd. Hanif Mohd. Salleh, 57, berkata, ramai daripada mereka memilih untuk kembali ke kediaman masing-masing pada 3 Ogos ini, iaitu tarikh sebenar kepulangan ke tanah air.
“Kesan buruk peristiwa ini, ramai yang mengalami gangguan emosi dan trauma hingga tidak sanggup balik awal ke rumah.
“Bayangkan, ada yang sudah berhajat mahu beribadah di samping membeli barangan seperti kismis dan kurma untuk sanak saudara atau jiran, namun semua tidak kesampaian,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri peguam Muhammad Nazrin Mohd. Seth di sini semalam.
Sebelum ini, hasrat kira-kira 380 jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap seperti visa dan pasport.
Ekoran itu, dua lelaki dan tiga wanita termasuk pemilik agensi pelancongan berkenaan di samping isterinya dan ejen ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara pada 8 Julai lalu untuk membantu siasatan.
Mohd. Hanif berkata, umat Islam sanggup bergolok gadai untuk menunaikan ibadah haji dan demikian jugalah yang dilakukan kumpulan jemaah yang terkandas.
Sementara itu, jemaah terlibat turut menggesa pihak berkuasa segera mencari tiga lagi individu yang merupakan pekerja di agensi pelancongan itu yang belum ditahan dan diambil kenyataan.
Muhammad Nazrin berkata, bagi menjamin keadilan buat kesemua 380 jemaah terlibat, pihak polis perlu membuat siasatan secepat mungkin.
“Ketika ini, seramai 111 jemaah haji bersetuju untuk membuat tuntutan sivil bernilai RM3 juta terhadap agensi pelancongan itu.
“Jumlah kerugian itu antara lain melibatkan ganti rugi emosi dan teladan yang akan difailkan ke mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.
Muhammad Nazrin berkata, difahamkan hanya lapan jemaah haji sudah menerima ganti rugi manakala sebahagian besar yang lain masih tidak mendapat apa-apa daripada agensi pelancongan itu walaupun didakwa akan diselesaikan secara berperingkat.
Menurutnya, kebanyakan mangsa memaklumkan gagal menghubungi ejen-ejen, malah pejabat agensi pelancongan itu turut didakwa sudah kosong
Beliau turut menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memperinci mengenai perkembangan siasatan terhadap agensi berkenaan.
“Saya difahamkan lebih 100 laporan polis dibuat kumpulan jemaah haji, namun ada yang masih belum dipanggil untuk direkod keterangan dan mereka menanti sebarang perkembangan daripada pihak polis,” katanya. – UTUSAN