GUA MUSANG: Permukaan Jalan Gua Musang-Lojing di sini yang berlubang-lubang dan tidak rata walaupun sudah acap kali ditampal mengundang risiko kemalangan kepada pengguna laluan berkenaan untuk ke Cameron Highlands atau Ipoh.
Pengguna laluan itu mendakwa, situasi tersebut bertambah teruk setiap kali hujan menyebabkan mereka gagal untuk mengagak kawasan berlubang walaupun sudah biasa dengan laluan tersebut.
Seorang pengguna, Shamira Shafie, 32, berkata, kenderaan berat yang selalu menggunakan laluan tersebut dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kerosakan.
“Saya harap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib dan jangan tunggu nyawa melayang, baru mahu ambil tindakan,” katanya yang merupakan pengguna Jalan Lojing untuk berulang-alik dari Terengganu ke Ipoh.
Mohd. Johan Awang Kecik, 53, pula memberitahu, sudah lebih sedekad laluan tersebut mengalami kerosakan sekali gus membahayakan pengguna.
Katanya, sejak wujud banyak kebun sayur, aktiviti pembalakan dan perlombongan, jalan berkenaan kerap rosak kerana dilalui oleh kenderaan yang membawa muatan berat.
“Nyawa pengguna juga terancam terutamanya pada waktu malam kerana kerana laluan itu juga gelap gelita kerana tiada lampu jalan.
“Lampu jalan sepatutnya dipasang di sepanjang jalan bagi mengelak kemalangan pada waktu malam dan jalan yang rosak diturap dengan sempurna agar tidak mudah rosak,” ujarnya.
Tambahnya, jalan Gua Musang-Lojing harus dinaik taraf kerana bukan sahaja menjadi pilihan orang ramai untuk memendekkan waktu perjalanan untuk ke negeri Pantai Barat tetapi juga laluan utama ke kawasan pelancongan di Cameron Highlands.- UTUSAN