Isu pegawai ditengking: Jabatan Imigresen beri kerjasama penuh - Utusan Malaysia

Isu pegawai ditengking: Jabatan Imigresen beri kerjasama penuh

KHAIRUL Dzaimee Daud bercakap dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi lawatan pada selepas menghadiri sesi libat urus JIM bersama agensi pelancongan, di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Imigresen memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mahu mengeluarkan sebarang komen lanjut berhubung isu berkenaan pada ketika ini.

“Kami tidak boleh komen, jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Jabatan Imigresen bersama agensi pelancongan di KLIA, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau ada menghadiri sebarang mesyuarat bersama jawatankuasa khas itu, Khairul Dzaimee bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Mohd. Ali mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di KLIA yang berlaku pada 3 Ogos lalu.

Tiga lagi anggota jawatankuasa itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua pihak, manakala hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen baru-baru ini.

Rabu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut KPPA memohon maaf secara terbuka susulan dakwaan beliau menengking seorang pegawai imigresen di KLIA.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku di Balai Berlepas KLIA antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi semalam kerana tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP.

Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam menolak dakwaan itu dengan berkata, Shafiq sekadar menegur pegawai imigresen bernama James Lee atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasportnya serta delegasinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya