MERSING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad sekali lagi menafikan wanita bernama Zainab Mohd. Salleh yang dikaitkan dalam siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah isterinya.
Menerusi perkongsian terbaharu dalam media sosial, beliau menegaskan tiada isteri atau isteri-isterinya yang bernama Zainab.
“Salam Jumaat yang penuh barakah, penghulu segala hari. Semoga apa sahaja yang kita lakukan hari ini membawa kebaikan buat semua dan beroleh keberkatan dari Yang Maha Esa.
“Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd. Salleh. Tiada ahli keluarga saya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Parlimen Mersing), saya suka makan ikan, tapi bukan ikan jerung,” katanya dalam hantaran sama sambil diselitkan dengan pantun empat kerat yang dipercayai sindiran ditujukan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan dakwaan terhadapnya itu.
Siakap senohong gelama ikan duri,
Cakap bohong lama-lama jadi pencuri,
Siakap senohong gelama ikan jerung,
Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung.
Pada Isnin lalu, Abd. Latiff menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya, malah bersedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Kenyataan beliau itu susulan kenyataan Rafizi mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.
Rafizi mendakwa siasatan dalam LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
Abd. Latiff yang memenangi kerusi Parlimen Mersing dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) kemudian meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN