KUALA LUMPUR: Kali pertama merakamkan lagu dalam bahasa Melayu, anggota kumpulan K-Pop IN2IT, Isaac Voo, 28, mengakui berdepan pengalaman mencabar ketika di studio.
Meskipun tidak kekok berbahasa Melayu, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu berkata, dia sukar menyanyikan lagu itu, terutama pada bahagian rap kerana cara sebutannya yang masih pekat dengan dialek Sabah.
Dia bagaimanapun, tidak berputus asa dan menganggap perkara itu sebagai proses pembelajaran untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Sebenarnya agak sukar dan terasa kekok saya untuk menyanyikan lagu berjudul Time Bomb ini kerana dialek Sabah saya yang agak pekat.
“Ketika merakamkannya, saya sering menerima teguran tentang sebutan. Namun, penulis lagu ini, Asyraf Nasir dan pengubahnya, Gaston Pong banyak membantu saya.
“Saya menganggap perkara ini sebagai proses pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui usai pelancaran single tersebut di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Video muzik Time Bomb dipertontonkan secara rasmi, kelmarin di saluran YouTube Isaac Vkm.
Menerusi video muzik lagu itu, Isaac menyelitkan elemen yang memaparkan identiti Malaysia.
“Saya menyelitkan elemen seperti bendera Malaysia dan wau untuk menunjukkan kepada orang luar kita juga memiliki budaya serta karya seni yang tidak kurang hebatnya.
“Saya ingin buktikan bahawa karya seperti lagu Malaysia juga berkualiti, ‘gempak’ dan ‘daebak’!” katanya.
Selain single solo ini, Isaac juga bakal muncul dengan projek baharu bersama IN2IT.
Namun, dia tidak bercerita lanjut kerana berasakan terlalu awal untuk berkongsi mengenai perkara itu.