PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi dangdut, Ifa Raziah, tampil menjawab mengenai isu dakwaan berkelakuan tidak sopan sewaktu membuat persembahan pada majlis akikah sehingga dikecam hebat warganet, baru-baru ini.
Menurut Ifa, terdapat dua acara berlangsung pada majlis yang dihadirinya itu iaitu akikah dan sambutan ulang tahun perkahwinan.
“Sebenarnya akikah diadakan pada awal majlis dan selepas selesai, diadakan pula acara ulang tahun perkahwinan. Saya bergelek selepas persembahan penyanyi, Liza Hanim.
“Lagipun, saya penyanyi dangdut takkan nak berdiri tegak. Selama 27 tahun menjadi penyanyi, gelek saya itu yang beri saya makan.
“Kalau saya tak bergelek siapa nak panggil saya buat persembahan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media program baharu TV3, Terpaling Juara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu popular Ser Ser Ser itu turut menafikan, tindakannya itu sebagai tidak menghormati majlis seperti yang didakwa netizen.
Ifa juga memaklumkan, persembahannya itu dibayar dan dia hanya melakukan kerjanya sebagai penyanyi dangdut.
“Ketika persembahan, ustaz semua sudah balik. Tuan rumah sendiri pun tukar baju dua kali. Ketika akikah, pakai baju putih manakala untuk majlis ulang tahun perkahwinan, berbaju merah jambu.
“Jadi, apa masalahnya sekarang? Orang membayar saya berpuluh-puluh ribu untuk menyanyi. Ini cara saya cari makan. Bukannya saya berkelakuan tidak senonoh dan keterlaluan.
“Dalam Instagram saya ada video penuh. Anda nilailah sendiri. Netizen tidak tahu apa-apa kemudian timbul salah faham,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, pelakon drama Risik Pada Hati itu menjadi perhatian warganet apabila dia kelihatan sakan bergelek bersama artis lain ketika menghadiri majlis akikah dan mencetuskan kemarahan serta kecaman hebat orang ramai.