PETALING JAYA: Ibu kepada Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi terus menitip doa agar anaknya itu terus kuat melawan penyakit yang dihadapi.
Berkongsi perkara itu di laman sosial Instagram miliknya, Nurul Erwani berharap hari ini keadaan Ainul semakin baik.
“Bismillah, semoga hari ini Ainul Mardhiah semakin baik, sihat dan kuat. Amin,” luahnya secara ringkas.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, bapa kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak memaklumkan, anaknya sedang ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman sejak Jumaat lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Ahmad Safiuddin berkata, tanda-tanda awal yang ditunjukkan anaknya itu hanyalah batuk biasa dan kemudian dirujuk ke fasiliti kesihatan pada Ahad.
Katanya, Ainul Mardhiah sedang menggunakan bantuan ventilator memandangkan doktor mengesahkan, virus sudah merebak hampir ke semua anggota namun tidak mendedahkan lokasi anaknya itu dirawat.
Kisah Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumour ketika berusia sembilan bulan pada 2019 mendapat perhatian negara apabila penderitaanya dikongsikan secara meluas.
Dr. Nur Amalina Che Bakri turut menghubungi Nurul Erwani untuk membantu Ainul Mardhiah telah menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada Jun tahun sama dengan tumor seberat 200 gram yang membesar dalam mulut berjaya dikeluarkan. – UTUSAN