Hukuman sebat terlalu kejam, tidak berperikemanusiaan

Hukuman sebat terlalu kejam, keterlaluan, tidak berperikemanusiaan – Wan Junaidi

WAN Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui selepas berucap pada Simposium #KeluargaMalaysia di PICC, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan hukuman sebatan yang diguna pakai ketika ini dilihat terlalu kejam, keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

Justeru, katanya, pihaknya bersama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji hukuman alternatif bagi menggantikan hukuman itu dan pindaan mengenainya akan dibentang ke Parlimen pada sesi Dewan Rakyat, Oktober depan.

“Saya hilang kata-kata apabila sebut pasal hukuman sebat sampai 15 kali…Masya-Allah, sebat tiga kali pun dah pengsan. Jadi saya melihat sebatan sehingga 15 kali itu sebagai keterlaluan. Jadi, dalam keadaan demikian saya hendak kaji secara holistik bersama dengan pihak-pihak tertentu mengenai hukuman itu.

“Hukuman sebatan ini kita warisi daripada pihak kolonial dulu, jadi kenapa kita mesti kekalkan perkara ini. Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Simposium #KeluargaMalaysia di sini hari ini.

Katanya, beliau hairan kenapa Malaysia masih meneruskan hukuman berkenaan kerana hanya dua ke tiga sebatan sahaja sudah boleh menghancurkan daging.

Wan Junaidi berkata, beliau berpandangan soal sebatan ini patut dikaji semua, malah dasar transformasi penjara dan kehakiman perlu melihat semula perkara ini di samping melihat hukuman gantian kepada undang-undang mati mandatori.

Menurutnya, beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa teknikal untuk membuat kajian selain mendengar input daripada semua pihak serta pemegang taruh.

“Kita kena lihat daripada sudut kajian dia macam mana, ada tak orang nak buat kajian tentang benda (hukuman sebat) ini. Saya bukan buat keputusan ini seorang diri hanya kerana saya rasa hukuman itu tidak berperikemanusiaan dan kejam. Kadang-kadang saya tidak boleh tidur apabila memikirkan perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, menerusi pindaan itu kelak hakim juga akan diberi budi bicaranya untuk menetapkan berapa jumlah sebatan yang akan diberikan sesuai dengan kesalahan atau jenayah si pelaku.

“Sebagai contoh, kalau seseorang itu latar belakang itu teruk sangat kes dia, contohnya masa dia tahan sebelum bunuh orang itu, dia dera, aniaya dengan kejam sekali, jadi hakim boleh menggunakan budi bicaranya,” katanya.

Ditanya apa alternatif hukuman yang sesuai bagi menggantikan hukuman sebatan itu, Wan Junaidi berkata, beliau berpandangan bahawa kaedah sebatan mengikut undang-undang Islam dilihat lebih sesuai.

Wan Junaidi berkata, kajian hukuman gantian sebatan itu akan dibentangkan bersekali pindaan 11 kesalahan yang dijatuhkan hukuman mati mandatori iaitu sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, kerajaan juga akan meneliti syor hukuman gantian bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan lain yang memperuntukkan hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

“Kerajaan pada masa ini melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian atau Jabatan berkaitan sedang meneliti cadangan hukuman gantian dan komited untuk membentangkan pindaan akta-akta yang terlibat dalam sidang Parlimen pada Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya