KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan hadiah berjumlah RM1 juta melalui Kempen Hartanah UDARia 2022 iaitu pameran hartanah komprehensif yang menampilkan 14 projek hartanah.
Antara hadiah yang akan dibawa pulang oleh pembeli adalah pakej percutian keluarga, baucar Touch N Go e-wallet dan pakej spa (tertakluk kepada terma dan syarat) sepanjang kempen itu berlangsung dari Ogos hingga Oktober 2022 di seluruh negara.
Selain itu, UDA turut menawarkan lima hadiah utama cabutan bertuah iaitu satu baucar tunai RM100,000 dan empat telefon pintar.
Dengan tema Sempurna untuk Semua Generasi, Kempen Hartanah UDARia 2022 mengetengahkan pelbagai unit kediaman serta komersial yang memenuhi keperluan semua lapisan di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr. Mohd. Salem Kailany berkata, kempen hartanah tersebut merupakan salah satu usaha UDA membantu menggalakkan pemilikan kediaman seterusnya memperkasa gaya hidup menerusi tawaran hartanah dengan harga menarik serta bernilai tinggi.
“Setiap individu mempunyai kisah dan matlamat hidup yang tersendiri namun satu perkara yang menyatukan semua ialah setiap individu memerlukan kediaman.
“Menerusi kempen ini, UDA berhasrat membantu lebih ramai memiliki kediaman yang diidamkan dan bersesuaian dengan gaya hidup masing-masing,” katanya. – UTUSAN