PUTRAJAYA: Cuti Rehat Khas kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun akan ditambah lima hari menjadikan ia 15 hari setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan cuti itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul cuti bagi tujuan award wang tunai (GCR) yang lebih tinggi,
Malah Perdana Menteri turut menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.
Selain itu perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.
“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. – UTUSAN