KUALA LUMPUR: Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu berjaya menarik sokongan orang Melayu yang berwibawa dan bersih yang mengutamakan agama serta bangsa.
Dr. Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, GTA juga berjaya menepis penyertaan pemimpin-pemimpin yang hanya mementingkan duit poket sendiri berbanding rakyat dan negara.
“Sebab itu GTA semakin hari semakin kuat dan saya percaya orang Melayu akan sedar serta memberi sokongan kepada gerakan ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya juga telah berjumpa kumpulan Melayu dan mereka sudi beri sokongan.
“Mereka juga kecewa dengan apa yang berlaku dalam negara, pemimpin sedia ada tidak bertanggungjawab dan hanya penting poket sendiri sahaja selain merosakkan perjuangan selamatkan negara yang yang dicetuskan pemimpin terdahulu.
“Sekarang kita perlu ganti orang (pemimpin) ini. Sebab itu kita tubuh GTA iaitu pergerakan perubahan orang Melayu yang sayangkan bangsa dan agama,” katanya ketika berucap pada Himpunan Nasional Berjasa 2022 di sini hari ini.
Selain itu, kata Dr. Mahathir, penubuhan GTA yang disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu itu juga bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini
“Kaum lain tidak perlu takut walaupun GTA hanya melibatkan orang Melayu kerana kita melihat kejayaan gerakan ini akan memberikan khabar gembira kepada bukan Melayu juga,” katanya. – UTUSAN