KOTA TINGGI: Graduan Kolej Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) disaran mempelbagaikan ilmu serta menimba sebanyak mungkin pengalaman bagi meningkatkan kemahiran dalam mendepani fasa endemik yang mencabar.
Pengerusi Pengelola INSTEDT, Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan berkata, dalam melalui fasa berkenaan, ramai dalam kalangan graduan terkesan berikutan peluang pekerjaan yang terhad.
Katanya, cabaran mendapatkan peluang pekerjaan bukan sahaja bersaing dengan rakan-rakan yang ada, bahkan dengan golongan yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.
“Ini selaras dengan kenyataan Kementerian Sumber Manusia menekankan kepentingan terhadap peningkatan kemahiran, latihan semula dan kemahiran silang dalam landskap pasaran buruh agar graduan dapat melengkapkan diri dengan kemahiran baharu serta menguasai kemahiran dalam pelbagai bidang pekerjaan,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-15 di Lotus Desaru Beach Resort, dekat sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 287 pelajar INSTEDT dari tahun 2020 dan 2021 diraikan selepas majlis istiadat konvokesyen yang sepatutnya berlangsung sebelum ini terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19.
Md. Ismail berkata, portal MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia diwujudkan kerajaan bagi menggalakkan semua pihak termasuk graduan peka dengan peluang-peluang kerjaya serta perkhidmatan pekerjaan lain dan kini menempatkan lebih 465,379 pencari kerja dengan pekerjaan baharu.
Sebanyak 57,791 perantis terdiri daripada golongan pelajar dan graduan pula berjaya mendapatkan pekerjaan.
Justeru, beliau menyeru semua graduan supaya merebut dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan serta perlu bergerak pantas dengan penuh berstrategi bagi menuju ke puncak kejayaan dalam karier dan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya berharap graduan terus mempamerkan mega citra INSTEDT yang hebat di mana sahaja anda berada dan sentiasa menjaga nama baik kolej sepanjang masa.
“Harumkan nama baik INSTEDT dengan kecemerlangan anda. Teruskan tradisi gemilang INSTEDT yang telah kita bina selama ini dalam menghadapi dunia luar yang penuh cabaran,” katanya. – UTUSAN