PETALING JAYA: Lebih sedekad tidak beraksi di Kuala Lumpur, band popular Indonesia, Gigi akan kembali untuk meleraikan rindu peminat menerusi konsert Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 5 November ini, konsert berdurasi dua jam itu akan menghimpunkan lagu terkenal Gigi yang bakal memanaskan suasana di lokasi.
“Sudah lama kami tidak bertemu peminat dan beraksi di Kuala Lumpur. Konsert ini menjadi medan untuk kami melepaskan rindu yang sudah lama terpendam,” kata vokalisnya, Armand Maulana.
Gigi memasuki pasaran Malaysia lewat lagu Terbang yang menjadi siulan ramai pada 1999, seterusnya mengukuhkan posisi mereka dengan barisan lagu hits seperti 11 Januari, Nakal, Pintu Sorga , Janji, Jomblo dan Andai.
Selain dikagumi kerana skil yang dimiliki oleh setiap anggota kumpulan tersebut, kemantapan aksi Armand selaku vokalis juga sentiasa memukau khayalak dengan vokal dan ‘showmanship’ hebat di pentas.
Kumpulan yang turut dianggotai Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) ini ditubuhkan pada 1994.
Mereka sebelum ini pernah beraksi di Konsert Eksklusif bersama Gigi di Menara PGRM pada 2003, seterusnya muncul dalam Sunburst KL International Music Festival, berkongsi pentas bersama Incubus dan John Legend pada tahun 2008.
“Kami sangat berbangga untuk membawakan Gigi yang kita tahu diminati kerana skil dan profesionalisme serta lagu mereka yang hebat.
“Kami mengharapkan kerinduan peminat terubat pada hari konsert, malah turut mengalu-alukan kehadiran pemuzik yang meminati kehebatan aksi setiap anggota Gigi,” kata Pegawai Eksekutif Tanjak Adventure & Tour, Azroy Ramli selaku penganjur.
Tiket berharga RM180 hingga RM450 boleh diperoleh menerusi laman sesawang: www.myticket.asia bermula pukul 10 pagi esok.