Gig 100 Rondivu bawa barisan terbaik, beri pengalaman gig yang sebenar - Utusan Malaysia

Gig 100 Rondivu bawa barisan terbaik, beri pengalaman gig yang sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 10 Julai lalu, artikel ke-100 Rondivu diterbitkan. Lebih dua tahun menulis, pencapaian itu merupakan sesuatu yang membanggakan untuk saya. Tidak pernah terlintas dalam mimpi yang saya akan menulis 100 artikel berkenaan muzik independen dalam sisipan hiburan arus perdana.

Saya meraikannya melalui satu artikel retrospektif, ucapan tahniah dari rakan-rakan dan rehat menulis selama tiga minggu. Namun, itu belum cukup. Saya mahu menutup keraian itu dengan satu acara yang istimewa.

Dengan 100 artikel, Rondivu masih belum dapat menangkap perhatian komuniti muzik independen sepenuhnya. Kolum ini dikenali dalam kalangan penggiatnya – kugiran, media, penganjur dan sebagainya – namun dalam kalangan pendengar dan peminat muzik independen, masih ada yang belum tahu kewujudannya.

Oleh itu, saya dan rakan-rakan dari Pancaindera, Atas Angin, Luas dan Junklist mengambil satu lagi langkah untuk menghebahkan kewujudan Rondivu iaitu dengan menganjurkan gig.

Nadi muzik independen

Dahulu, sewaktu kita semua terkurung semasa Perintah Kawalan Pergerakan, saya ada menulis yang gig ini merupakan nadi muzik independen. Dalam gig, hampir semua sudut ekosistem muzik independen bergerak. Ada penganjur, kugiran, media, peminat, penjual cenderamata dan ramai lagi.

Gig ialah kenduri kahwin. Selain hari raya, kenduri kahwin ialah detik terbaik untuk kita berkumpul sesama sanak-saudara. Pakcik, makcik, sepupu, dua pupu, semua sanggup meredah lebuh raya untuk meraikan mempelai. Di situ ada bual sejarah, imbauan kenangan atau yang generasi 90-an guraukan sebagai program jejak kasih.

Begitu juga gig. Kita boleh jumpa wajah yang lazim ditemui di gig lain sebelum ini. Semua kaki gig ini seperti saudara jauh yang berjumpa hanya beberapa kali dalam setahun. Begitu juga kugiran, krew teknikal dan media, gig tempat mereka bertemu dan beramah mesra.

Sebab itu saya pilih untuk menganjurkan gig walaupun tahu risikonya kewangannya besar dan kerjanya berat.

Barisan terbaik

Gig 100 Rondivu akan diadakan pada 3 September ini di BSYNC Productions, Kuala Lumpur. Keputusan muktamadnya belum ada tapi saya fikir, ini akan jadi gig tunggal yang Rondivu anjurkan. Cukuplah sekali sebab ini bukan kerja saya. Kerja saya menulis.

Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan barisan kugiran yang terbaik untuk gig ini. Ada beberapa kugiran yang menolak kerana kesempitan masa tetapi enam kugiran yang ditampilkan dalam gig ini sudah mantap, malah sangat mantap.

Secara tidak sengaja, saya mempertemukan dua generasi kugiran dalam gig ini. Generasi pertama ialah mereka yang berada dalam era peralihan antara gelombang kedua dengan ketiga muzik independen Malaysia.

Kugiran ini aktif dalam zaman kesuraman muzik independen selepas zaman lonjakan gelombang kedua yang dikepalai kugiran seperti Hujan, Bunkface, Meet Uncle Hussein dan lain-lain. Mereka mencipta legasi tersendiri dalam waktu sukar, namun tetap aktif sehingga hari ini.

Mereka ialah The Venopian Solitude, Sekumpulan Orang Gila dan Kyoto Protocol. Secara peribadi, ini kugiran yang mengisi selera muzik saya pada era 2011 hingga 2015.

Generasi kedua pula kugiran yang mengisi gelombang ketiga muzik independen. Ketiga-tiga kugiran ini membawa keterujaan ketika awal kemunculan mereka, seterusnya menyalakan kembali harapan untuk muzik independen tempatan.

Mereka ialah Mafidz, Hacktick! dan Mascot. Ketiga-tiga mereka memulakan legasi dengan rilisan pertama. Baik Ada Angin dan Hati oleh Mafidz, Dog Days Diaries: A Self-Help Book oleh Hacktick! atau Penutup oleh Mascot, ketiga-tiganya melonjakkan nama mereka dengan segera.

Dalam Gig 100 Rondivu, keenam-enam mereka bersatu atas satu pentas. Sebelah petang akan dipenuhi keterujaan gelombang ketiga dan sebelah malam kita bergembira mengimbau kenangan peralihan gelombang kedua.

Kenangan manis

Saya mengambil risiko dengan melaksanakan gig ini mengikut cara yang pada fikiran saya berpatutan. Walaupun ada kugiran yang dibayar di bawah kadar sebenar, saya pastikan bayaran itu berpatutan. Sekurang-kurangnya, mereka tidak rugi.

Saya beruntung kerana Media Mulia Sdn. Bhd., syarikat yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad sudi memberikan tajaan. Namun, dengan satu tajaan belum cukup untuk menampung keseluruhan kos.

Buat yang membaca artikel ini, saya menjemput anda semua untuk bersama mencipta kenangan manis di Gig 100 Rondivu nanti. Harga tiket yang anda bayar akan dipastikan berbaloi kerana kugiran yang beraksi telah terbukti mampu memberikan persembahan terbaik.

Semua kru juga akan memastikan perjalanan acara lancar. Motivasi mereka ada pada harga tiket yang anda bayar juga.

Jumpa anda 3 September nanti. Kita penuhkan BSYNC Productions dengan semangat muzik yang menyala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya