Gelaran Datuk: Perjuangan 42 tahun Amy Search dihargai - Utusan Malaysia

Gelaran Datuk: Perjuangan 42 tahun Amy Search dihargai

TUN Mohd. Ali Mohd. Rustam menganugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk kepada Suhaimi Abdul Rahman atau popular dengan nama Amy Search di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda rock, Amy Search menyifatkan peng­anugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk sebagai tanggungjawab besar dan pengiktirafan.

Malah beliau berkata, DPSM yang diterima itu bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga seluruh karyawan industri hiburan.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, bersyukur kerana perjuangan dan sumbangannya selama 42 tahun dalam industri hiburan dihargai dengan pengiktirafan bermakna itu.

“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, khususnya Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.

“Penganugerahan ini memberikan saya lebih tanggungjawab supaya menjadi teladan kepada anak bangsa. Malah, pingat ini juga adalah pengiktirafan buat semua anak seni yang memainkan peranan penting dalam membangunkan sosio ekonomi negara,” katanya.

Vokalis kumpulan rock le­genda, Search itu menjadi satu-satunya penggiat seni yang menerima darjah kebesaran pada majlis sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Ne­geri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, semalam.

Seramai 883 individu dalam senarai penerima anugerah kebesaran didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM), membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media massa dan ahli-ahli badan sukarelawan.

Sementara itu, Amy berkata, gelaran Datuk tidak akan me­ngubah siapa Amy Search yang dikenali ramai sebelum ini, sebaliknya menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk terus berkarya.

“Pengurniaan gelaran Datuk tidak akan mengubah diri ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang akan terus berbakti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya