SEREMBAN: Sebuah filem bertajuk ‘Brother Gun’ yang diinspirasikan daripada kisah benar penghijrahan Datuk Abdullah Ghani Kassim dengan suntikan elemen perjuangan bangsa bakal ditayangkan Jun tahun depan.
Penerbit, Syarikat Eria Ventures Sdn. Bhd., Mohd. Fazli Hassan berkata, filem arahan pengarah, Ikhwansha Hazer yang menelan kos sebanyak sehingga RM5 juta itu turut dijangka akan menampilkan pelakon popular, Remy Ishak sebagai watak utama.
“Kami tertarik untuk membuat filem biografi berdasarkan kisah sebenar ahli kongsi gelap, yang digeruni iaitu Abdullah Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Ayah Boss’ kepada penghijrahannya menjadi seorang pejuang bangsa dan bertaubat.
“Penggambaran filem ini akan bermula Oktober ini dengan lokasinya bukan sahaja di Malaysia tetapi beberapa negara luar termasuk Indonesia, Thailand dan Arab Saudi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Fazli menandatangani perjanjian usahasama Penerbitan Filem ‘Brother Gun’ bagi mewakili syarikat penerbitan Eria Ventures Sdn. Bhd. dengan Abdullah Ghani dan usahawan yang juga penyumbag dana filem, Datuk S.Muthdagan.
Jelas Mohd. Fazli, menariknya filem ini akan memaparkan aksi samseng jalanan dengan garapan pengarah aksi terkenal daripada Indonesia, Ario Sagantoro.
“Buat masa ini, penulisan skrip masih dalam pembikinan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan, selepas itu kami akan memulakan penggambaran.
“Memandangkan ini filem biografi, maka Abdullah Ghani akan terlibat sama dalam penulisan skrip dan berlakon,” katanya. – UTUSAN