FFM32 perkenal tiga anugerah baharu, angkat filem tempatan ke antarabangsa - Utusan Malaysia

FFM32 perkenal tiga anugerah baharu, angkat filem tempatan ke antarabangsa

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim (tengah) memperkenalkan trofi Festival Filem Malaysia ke-32 yang dipamerkan pada sidang akhbar diiringi oleh Pengarah Eksekutif Royal Selangor, Chen Tien Yue (dua kiri), Pengarah Pemasaran FINAS, Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan (kiri), Timbalan Ketua Pengurusan FINAS, Rozita Waty Ridzuan (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi FINAS, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin (kanan) ketika bergambar selepas sidang akhbar Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 di Royal Selangor International, Setapak di sini hari ini. FOTO / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia (FFM) 32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan memperkenalkan tiga anugerah baharu iaitu Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik.

Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim berkata, tiga anugerah baharu yang diperkenalkan itu dilihat mampu memberi impak dan pengiktirafan yang lebih berprestij kepada jenama FFM.

“Sebelum ini, kita hanya memberi Anugerah Seniman Sepanjang Zaman, tetapi kali ini kita memperkenalkan anugerah untuk seniwati pula. Untuk Anugerah Filem Pendek Terbaik, kita mahu memberi pengiktirafan, sekali gus menjadi pemangkin semangat, khususnya kepada karyawan muda.

“Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik pula sebagai langkah memartabatkan filem kita ke peringkat lebih tinggi. Sudah tiba masa filem kita ke luar negara. Ia juga boleh dijadikan penanda aras kualiti filem tempatan dan karya luar.

“Kami menyasarkan penyertaan 10 filem dan juri untuk kategori ini juga melibatkan pengkarya filem antarabangsa. Antara yang sudah memberi maklum balas adalah karyawan dari Indonesia, Thailand, India dan Pakistan,” katanya pada sidang media pertama FFM 32.

Sementara itu, bercakap tentang pencalonan, Md. Nasir berkata, pendaftaran mula dibuka dari 23 Ogos sehingga 30 September ini.

Manakala, filem layak bertanding adalah karya yang ditayangkan bermula 15 Julai 2021 hingga 30 September 2022.

“Setakat ini, 27 filem tempatan yang telah ditayangkan. Pencalonan dibuka untuk filem yang ditayangkan di pawagam dan Astro First, melepasi syarat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) serta tempoh durasi filem melebihi 60 minit.

“Penjurian masih menggunakan konteks sama seperti edisi sebelum ini. Barisan juri adalah mereka yang berpengalaman dan sesuai dengan keperluan setiap kategori. Bagaimanapun, filem tempatan yang ditayangkan di aplikasi penstriman seperti Netflix dan Viu tidak dipertandingkan,” jelasnya.

Sementara itu, mengisi penganjuran kali ini, Md. Nasir berkata, pelbagai program sisipan turut dirancang bagi memeriahkan sambutan, selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang industri filem tempatan.

Antara yang bakal dilaksanakan adalah tayangan filem bertanding, sesi bertemu calon FFM 32, tayangan filem kenegaraan dan bengkel bersama Finas yang bakal diadakan di Melaka.

FFM32 mengangkat tema Filem Kita, Citra Kita merupakan anjuran Finas dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta RTM sebagai penyiar rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN