DUNGUN: Pengunjung dan penduduk di sekitar Pantai Paka di sini, gempar dengan fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di kawasan laut tidak jauh dari pantai tersebut, petang semalam.
Fenomena selama lebih lima minit bermula kira-kira pukul 5.40 petang itu sempat dirakam pengunjung pantai tersebut sebelum semakin mengecil dan hilang.
Seorang penduduk, Zunazri Zulkifli, 42, berkata, dia yang sedang memandu kereta dan mahu membeli makanan di kedai berhampiran pantai tersebut terkejut melihat awan tebal dan terdapat pusaran angin.
“Fenomena itu jelas kelihatan meskipun jaraknya jauh di tengah laut. Semasa kejadian, angin tiba-tiba kuat di pesisir pantai namun tiada hujan dan tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya juga sempat merakam beberapa keping gambar,” katanya di sini, hari ini.
Seorang lagi pengunjung pantai, Roszini Ramli, 43, berkata, dia yang bersama dua anaknya terkejut melihat fenomena tersebut.
“Saya belum pernah melihat kejadian ini. Memang agak takut dan terkejut. Bimbang berlaku kejadian buruk, kami cepat-cepat pulang,” katanya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian tersebut.
Namun, beberapa pemancing yang berada di tengah laut ketika itu turut memuat naik beberapa keping gambar mengenai laut yang kelihatan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. – UTUSAN