KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin mengakui, dia dan suami, Fattah Amin menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata kedua.
Bagaimanapun, menurut pelakon filem Pisau Cukur itu, dia cuma mampu merancang dan menyerahkan segala urusan itu kepada ketentuan Allah.
“Memang saya rindu nak ada anak lagi. Fatimah pun sudah semakin besar, bakal berusia dua tahun dalam dua bulan lagi.
“Saya fikir, memang sekarang ini masa yang sesuai untuk tambah zuriat. Cuma, sekarang saya masih sibuk.
“Tapi, perancangan tetap ada. Mungkin selepas selesai semua kesibukan ini, saya dan Fattah sudah boleh merancang untuk menambah ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Faztival Fazura 2022, semalam.
Bercakap soal jantina anak yang diinginkan, Fazura memaklumkan, dia bersikap terbuka dan menyerahkan kepada rezeki Allah.
Katanya, apa yang penting adalah memiliki anak yang soleh dan solehah.
“Tentang jantina, saya tak tahu. Sejujurnya, lelaki atau perempuan, saya terima.
“Memang kalau ikutkan, nak sepasang. Tapi, saya cuma mampu berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah,” katanya lagi.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nur Fatima Aisya.