KUBANG PASU: Polis memberkas tujuh lelaki termasuk empat warga emas dipercayai terlibat dalam judi belangkas menggunakan aplikasi dalam talian di sebuah kedai makan di pekan Sungai Korok, Jitra di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, serbuan ke lokasi pada pukul 1.30 pagi itu membawa kepada penahanan suspek berusia 35 hingga 70 tahun yang ketika itu leka bermain judi berkenaan.
“Polis turut menahan seorang suspek disyaki penganjur judi belangkas ini yang berusia 48 tahun di lokasi sama.
“Suspek ini mengaku sebagai ‘bangker’ perjudian tersebut. Aktiviti perjudian ini dipercayai berlangsung sejak dua minggu yang lalu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemain judi itu adalah dalam kalangan rakan bangker berkenaan dan orang tempatan sekitar kawasan tersebut.
“Wang taruhan bermula dari RM10 hingga RM200,” katanya.
Tambah beliau, polis merampas wang tunai berjumlah RM4,951 dipercayai digunakan dalam pertaruhan judi itu, selain menemukan pelbagai peralatan perjudian termasuk telefon yang mengandungi aplikasi judi belangkas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya. –UTUSAN