Dua individu didakwa menipu hampir RM60,000

Dua individu didakwa menipu hampir RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 11 pertuduhan menipu dalam urusan penawaran sewa rumah dan bilik yang melibatkan kerugian hampir RM60,000 sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Haslina Kiprawi, 45, dan Afif Farihien, 35, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan selepas dakwaan dibacakan oleh jurubahasa di lima mahkamah berbeza.

Dalam kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menipu 11 mangsa dalam urusan penawaran sewa bilik serta rumah menyebabkan mangsa-mangsa itu untuk menyerahkan wang hampir RM600,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sejak bulan Mei hingga Ogos 2022 di Sky Suites, KLCC. 

Mereka telah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda. 

Semua pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, Majistret Nadia Othman, Majistret Wong Chai Sia, Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali. 

Kedua-dua tertuduh dibenarkan jamin sebanyak RM29,500 setiap seorang dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, di hadapan Aina Azahra dan Fardiana Haryanti, mereka diarah lapor diri di balai polis berdekatan setiap satu bulan sebagai syarat tambahan.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nom Phot Prackdit serta Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Zanyuin, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, Nur Diana Mohamad Saad dan Nidzuwan Abd Latip. 

Sementara itu, kedua-dua tertuduh diwakili oleh seorang peguam bela, Erickka Farrise Amir.

Ketika membuat rayuan di kelima-lima mahkamah, Erickka Farrise mohon supaya mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan kadar minima, mengambil kira mereka tidak mempunyai sejarah jenayah lampau. 

Difahamkan kedua-dua tertuduh selesai membayar kos jamin tersebut hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya