CHENNAI: Dua doktor gigi Malaysia, Dr. Safwan Majid dan Dr. Joshua Peh Jian Ren masing-masing dianugerahkan Anugerah Usahawan Pergigian Muda dan Anugerah Pencapaian Muda dalam Asia Healthcare Award semalam.
Dr. Safwan yang merupakan Pengasas Klinik Pergigian Avisienna berkata, beliau mempunyai visi untuk meningkatkan taraf pergigian di Malaysia dengan menyediakan standard penjagaan yang lebih tinggi kepada masyarakat.
“Klinik Pergigian Avisienna telah dimulakan dengan isteri saya, Dr. Adhwa Anis Zulkarnain pada 2019 dan kini mempunyai 20 cawangan di seluruh Malaysia.
“Kami memulakan makmal pergigian, pusat pembekal pergigian dan pusat akademi pergigian dengan juruteknik dan penceramah yang terlatih di peringkat antarabangsa.
“Visinya adalah memberi inspirasi kepada doktor gigi muda di Malaysia untuk berbangga dengan kerja mereka dan terus berusaha ke arah yang terbaik,” katanya semasa majlis anugerah di ITC Grand Chola Hotel, India.
Asia Healthcare Award 2022 dianjurkan oleh International Awards of Excellence untuk mengiktiraf Profesional Pergigian dan Kesihatan Antarabangsa untuk memotivasi mereka cemerlang dalam kerjaya mereka.
Seramai 450 peserta di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam acara ini termasuk Amerika Syarikat, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, India dan Malaysia.
Sementara itu, Dr. Joshua Peh yang juga Presiden Persatuan Pelajar Pergigian Malaysia berkata, beliau mahu meningkatkan kemahiran pergigian di negara ini ke tahap yang lebih tinggi serta menyimpan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembelajaran pergigian di peringkat antarabangsa.
Katanya, beliau pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai acara pergigian dan persidangan sebagai pemimpin pelajar dan penceramah serta menerima Anugerah Pingat Emas Tun Razak dan Anugerah Warga Global.
Kedua-dua doktor gigi ini mempunyai matlamat masa depan untuk membantu meningkatkan standard pergigian di Malaysia ke peringkat antarabangsa dan mereka percaya bahawa dengan pasukan dan kepercayaan yang tepat, matlamat mereka dapat dicapai. – UTUSAN