PETALING JAYA: Pelakon, Remy Ishak memohon orang ramai supaya mendoakan kesejahteraan ibunya yang sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Koronari (CICU), Hospital Serdang, dekat sini.
Remy berkata, ibunya, Basrah Md Dris dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan jantung.
“Setelah 10 hingga 12 jam dalam bilik pembedahan, operasi diberhentikan buat seketika dan akan bersambung semula selepas 48 jam.
“Sebagai seorang Muslim, saya percaya pada qada dan qadar. Saya percaya pada hari akhirat, syurga dan neraka Allah.
“Namun, apa yang saya dan adik-beradik lakukan sekarang adalah ikhtiar. Masih banyak kebaikan dan kebahagaiaan yang belum kami lakukan untuk ibu.
“Mohon jasa baik kalian semua mendoakan untuk saya dan adik-beradik supaya kami boleh bersama-sama semula dengan ibu kami,” kongsinya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter.
Dalam ciapan yang sama, Remy turut memuat naik video memaparkan ibunya yang berbaring di atas katil, selain doa daripada sekumpulan pelajar tahfiz yang melakukan solat hajat.
Kelmarin, Remy melayangkan ciapan memaklumkan, ibunya masih dirawat dan memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan insan tersayang itu.
“Emak saya sedang kritikal di Hospital Besar Melaka. Mohon jasa baik semua mendoakan emak saya,” katanya.