"Maklumat daripada nelayan yang menangkap ikan memaklumkan

Dikejar ikan besar, tarikan cahaya lampu mungkin punca bilis naik ke pantai

TANGKAP layar rakaman video ikan bilis terdampar di Pantai Pasir Bogak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.-GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Fenomena ikan bilis naik dan terdampar di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini, Sabtu lalu yang tular dalam media sosial kemungkinan berpunca dikejar ikan besar dan tarikan cahaya lampu di kawasan tersebut.

Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, maklumat daripada pengusaha dan nelayan bot ikan bilis juga mendapati hasil tangkapan ikan tersebut meningkat sejak dua tiga hari sebelum fenomena itu berlaku. 

“Maklumat daripada nelayan yang menangkap ikan memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan Alu-alu yang mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ikan bilis melompat ke pantai. 

“Ada maklumat juga memaklumkan kemungkinan lambakan ikan bilis di kawasan pantai Pasir Bogak disebabkan cahaya lampu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mengikut kajian saintifik terdapat tiga faktor yang menyebabkan ikan bilis naik ke pantai dan antaranya ialah perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga dan plankton serta arus dan gelombang yang tinggi.

Jelas beliau, jabatan itu berpandangan dasar ‘Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia’ pada 2016 yang mewujudkan Zon Konservasi iaitu kawasan pembiakan ikan dari pantai hingga satu batu nautika ke laut, dengan melarang sebarang aktiviti menangkap ikan menampakkan kejayaan dengan penambahan ikan bilis. 

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perikanan Negeri Perak akan memantau kejadian itu dari semasa ke semasa.

“Mengikut maklumat yang diterima oleh pejabat ini, pada 13 Ogos lalu lebih  kurang pukul 7.30 hingga 8 malam, didapati ikan bilis naik ke pantai Pasir Bogak.

“Insiden yang sama berlaku pada 12 Ogos yang mana didapati anak ikan tamban juga naik terdampar di pantai tersebut dalam kuantiti yang kecil,” jelas beliau.

Beliau berkata, antara pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari kelmarin, penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan untuk mengutip ikan bilis yang terdampar di tepi pantai yang telah pun kering.

Katanya, anggaran ikan bilis yang dikutip oleh pengunjung adalah lebih dua kilogram yang melibatkan pantai Pasir Bogak sepanjang 500 meter dalam keadaan bertompok-tompok.

“Siasatan di pantai-pantai berdekatan di sekitar Pangkor seperti pantai Teluk Ketapang, pantai Teluk Nipah dan pantai Teluk Belanga mendapati ikan bilis hanya terdampar di pantai Pasir Bogak sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya