ALOR GAJAH: Sebuah syarikat pengangkutan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan membawa muatan pasir melebihi had dibenarkan.
Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Nanyang Expertise Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili Ali Katjo, selepas mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, OKS didapati membawa sebuah lori treler dengan muatan pasir seberat 79,370 kilogram (kg) yang mana melebihi had muatan dibenarkan 51,000 kg dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 57 (1) (b) (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat simpang Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dalam daerah Alor Gajah pada 12 Januari 2021 kira-kira pukul 12.25 tengah hari.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Mohd. Hairen Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS dengan mengambil kira lebihan pasir dibawa.
OKS yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar denda minimum diberikan dengan alasan prestasi perniagaan yang tidak begitu baik.
Mahkamah menetapkan denda RM3,000 atau penjara empat bulan jika gagal berbuat demikian. OKS kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN