PETALING JAYA: Penurunan nilai ringgit sebanyak -6.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) sejajar pergerakan mata wang serantau dan negara maju yang sama merosot -2.8 peratus hingga -16.4 peratus sehingga Julai lalu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa memaklumkan, namun begitu kerajaan menguruskan risiko-risiko dan perkembangan domestik dan luaran bagi memantau prestasi nilai ringgit.
Katanya, di samping itu Bank Negara akan bersedia menggunakan instrumen dasar bagi memastikan keadaan teratur dan pasaran tukaran wang asing bagi mengelak turun naik ketara dalam pertukaran wang ringgit.
“Kita lihat prestasi ringgit secara menyeluruh, bukan dibandingkan dengan mata wang dolar Amerika Syarikat yang meningkat berbanding kebanyakan mata wang dunia tetapi nilai wang ringgit menurun sebanyak -6.2 peratus berbanding AS$ sejak awal tahun ini sebenarnya sejajar pergerakan mata wang serantau dan negara maju turut merosot -2.8 peratus hingga -16.4 peratus sehingga Julai lalu.
“Pengukuhan dolar Amerika Syarikat secara keseluruhan sebenarnya didorong kenaikan kadar faedah secara agresif di Amerika Syarikat dan berkaitan sentimen penghindaran sentimen risiko global berikutan perang Ukraine dan jangka pertumbuhan sederhana di China,” katanya dalam jawapan soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu penjelasan kerajaan terhadap usaha mengukuhkan wang ringgit agar kembali stabil seperti sebelum ini.
Dalam pada itu, Yamani Hafez berkata, kestabilan pasaran kewangan adalah penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing melabur dalam pasaran kewangan tempatan sekali gus memberikan impak positif kepada rizab antarabangsa.
Katanya, paras rizab antarabangsa didorong kekuatan asas ekonomi negara dan kini perlu menumpukan kepada daya tahan ekonomi dengan mempelbagaikan sumber ekonomi serta memperkukuhkan daya saing serta kedudukan fiskal negara.
“Kedudukan rizab itu adalah memadai bagi membiayai 5.7 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek,” katanya.
Menyentuh kesan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Yamani Hafez berkata, ia tidak memberikan kesan ketara apabila satu pertiga peminjam B40 membabitkan pembiayaan tetap dengan merangkumi pinjaman kereta dan peribadi.
Katanya, pelbagai program bantuan disediakan untuk kerajaan untuk membantu mereka terkesan. – UTUSAN