KUALA LUMPUR: Tiada kelulusan diberikan setakat ini bagi menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini kerana kelulusan akhir bagi cadangan tersebut hanya akan dipertimbangkan apabila kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan.
“Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 (Bil.3/2020) pada 27Oktober 2020 antara lain telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu tertakluk kepada keperluan untuk menyediakan beberapa laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ElA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Marine Risk Assessment, Coral Mapping Studies dan Land-Disturbing Pollution and Mitigation Measures.
“Mesyuarat MPFN tersebut juga memutuskan bahawa cadangan ini perlu diangkat semula untuk pertimbangan majlis. Dalam hubungan ini, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu juga adalah tertakluk kepada hasil Kajian NASP yang telah bermula pada Mac lalu.
“Kajian ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan dan meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan-lapangan terbang baharu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Anthony loke (DAP-Seremban) meminta kerajaan menjelaskan sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman yang dicadangkan sebuat syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar dan adakah projek tersebut berdaya saing dan memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.
Tambah Ka Siong, kajian itu antara lainnya akan turut meneliti sama ada cadangan projek tersebut berdaya saing atau tidak.
Selain itu berhubung dengan penentuan kriteria kelestarian alam sekitar, jelasnya, perkara tersebut sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).