ALOR SETAR: Desakan pihak tertentu agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin hanyalah kemahuan nafsu orang politik semata-mata.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku ketika tumpuan lebih wajar diberi kepada perkara melibatkan kepentingan rakyat di era pasca pandemik.
Menurutnya, setiap pihak ketika ini memiliki tanggungjawab untuk membina negara dan kekuatan rakyat bagi berdepan cabaran lebih besar termasuk daripada aspek ekonomi.
“Dalam masa sama, kita perlu beri tumpuan terhadap isu rasuah dalam negara ini. Kita perlu beri perhatian bagaimana nak bekerjasama dengan seluruh rakyat untuk menangani agenda rasuah yang merosakkan negara.
“Kalau nak adakan pilihan raya, bila-bila pun boleh adakan sejak daripada berlangsungnya PRU14 lalu. Tetapi kita dalam masa sama memiliki peranan serta tanggungjawab untuk bina negara termasuk memerangi gejala rasuah yang teruk.
“Kenapa nak tergesa-gesa adakan PRU? Itu hanyalah kemahuan nafsu orang politik semata-mata,” katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera – Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik Dan Hal Tuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebooknya semalam seakan memberi ingatan kepada Perdana Menteri serta pucuk pimpinan kerajaan bahawa PRU15 perlu disegerakan atau UMNO serta BN akan tewas.
Dengan turut meletakkan bidalan sesal dulu pendapatan dan sesal kemudian tidak berguna di perenggan terakhir, Ahmad Zahid berkata pendirian tersebut sudah lama dibuat UMNO dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk melaksanakannya.
Sementara itu, Awang berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang bakal berlangsung awal September ini bakal menjadi medan memperkukuh kekuatan parti menjelang PRU15.
“Insya-Allah parti ini walaupun dalam suasana politik yang bagaimana sekali pun, kita teruskan dengan agenda wajib mengadakan muktamar tahunan. Tahun lalu pun walau ada yang kata politik tidak stabil, kita tetap adakan pemilihan dan tidak menggunakan alasan bagi menangguhkan perkara penting itu.
“Dalam muktamar itu, tumpuan tentunya terarah kepada usaha mengukuhkan perpaduan ummah kerana setakat ini, tiada lagi usul daripada mana-mana kawasan untuk memutuskan hubungan sama ada dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN). Kita akan terus pastikan usaha memantapkan perpaduan ummah ini terus berlaku,” katanya. – UTUSAN