KUALA LUMPUR: Bagi menyuntik semangat patriotik dalam kalangan anak muda, Yayasan Metamorphosis telah turun padang dan mendekati golongan mat rempit agar tidak terkecuali dalam sambutan hari kemerdekaan tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, program malam tadi mendapat sambutan kira-kira 300 hingga 400 anak muda sekitar Lembah Klang bagi menyertai program santai berkenaan yang diadakan di restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
“Malam ini, kita mengadakan program santai bersama anak muda bagi mendekati golongan berkenaan termasuk memasang bendera pada motosikal mereka sempena bulan kebangsaan.
“Semua anak muda yang hadir malam ini dijemput melalui hebahan mesej yang diuar-uarkan di media sosial sebelum ini,” katanya pada program berkenaan.
Lanjutan daripada itu, Razalif turut berkata, pihaknya akan menganjurkan konvoi bermotosikal bersama anak muda dengan sasaran lebih 1,000 peserta pada 27 Ogos ini.
“Program berkenaan akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dari Jalan Duta di sini, menuju ke Tambun, Perak dengan beberapa intipati program termasuk beramah mesra dengan anak muda yang turut serta.
“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mengawal keselamatan konvoi berkenaan nanti,” katanya.
Jelasnya, program ini adalah sebagai kesedaran kepada mat rempit agar tidak melakukan aktiviti yang membabitkan kesalahan jalan raya, namun dalam masa yang sama ruang tetap diberi kepada golongan berkenaan dengan cara yang lebih tepat.
“Kita mahu mereka sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu mengelak mereka berada di jalan raya untuk merempit melalui penganjuran program-program terbabit.
“Sebelum ini, kita ada adakan program-program sebegini. Namun, ini adalah kali pertama kita adakan selepas dua tahun penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN