KOTA KINABALU: DAP Sabah akan mengemukakan surat rasmi kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menggesa sidang khas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sekiranya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor masih enggan menyatakan pendirian kerajaan Sabah mengenai RUU Anti Lompat Parti maka, beliau akan menghantar surat kepada DUN Sabah dalam masa terdekat.
Sehingga hari ini, Hajiji belum mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian kerajaan Negeri tentang RUU berkenaan.
“Jika berlaku pilihan raya mengejut di peringkat negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) maka, Undang-Undang Anti Lompat Parti ini boleh dipraktikkan dan menghentikan budaya lompat.
“Itu sebabnya kita menggesa kerajaan Negeri segera membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Sabah agar ia boleh dikuatkuasakan sebelum PRU-15,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Sabah hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu berkata, kerajaan Persekutuan telah memberi isyarat bahawa budaya lompat parti ini salah dari segi undang-undang dan tidak beretika maka, Sabah juga perlu bertindak pantas.
“Sekiranya RUU ini lambat dilulus dan diwartakan maka, kita tidak cukup masa untuk melaksanakannya sekiranya PRU-15 diadakan November.
“Walaupun DUN Sabah secara asasnya akan bubar pada 2025 namun, macam-macam boleh berlaku selepas PRU-15. Jika ada perubahan kerajaan, saya percaya Sabah juga akan terjejas dan akan ada ADUN melompat,” katanya.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kira-kira 10 daripada 73 ADUN Sabah melompat daripada parti asal.
Situasi itu menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan tidak mahu turun mengundi kerana pada akhirnya ADUN mereka tetap melompat. Namu, jika RUU itu dilaksanakan, keyakinan rakyat akan kembali meningkat.
Jin Zhe berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) tidak perlu tunggu sehingga pembentangan Bajet Negeri untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti ini.
Kerajaan harus mengadakan sidang khas dalam tempoh 60 hari daripada tarikh RUU itu diluluskan di Parlimen, iaitu pada 28 Julai.
Jelas beliau, Parti Bersatu Sabah (PBS) turut mengemukakan cadangan yang sama, jadi selaku parti dalam komponen GRS, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam harus menggesa Kabinet Negeri mengadakan sidang DUN khas dengan segera. –UTUSAN