Dana RM1 juta kembang silat ke persada dunia - PM

Dana RM1 juta kembang silat ke persada dunia – PM

ISMAIL SABRI Yaakob melambai tangan selepas berucap pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan bernilai RM1 juta kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), khusus untuk membantu badan itu mengembangkan seni silat ke persada dunia.

Perdana Menteri berkata, silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu itu terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

Beliau menegaskan, silat juga terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

“Sehubungan itu, budaya persilatan yang telah lama bertapak ini perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Seni silat bukan sekadar untuk mempertahan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.

“Bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat serta membantu Pesaka mengembangkan seni silat di persada dunia, pada malam ini dengan sukacitanya saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada Pesaka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam tadi.

Kejuaraan bermula Selasa lalu itu menampilkan lebih 500 pesilat dari 40 buah negara merebut gelaran juara dunia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyentuh berkenaan fenomena filem Mat Kilau yang mencatat kutipan sehingga RM90 juta hanya dalam tempoh 33 hari ditayangkan.

Tegas Perdana Menteri, ia jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia mengenalinya secara mendalam.

“Saya difahamkan terdapat persatuan silat yang menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu, berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya