PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegur keterujaan belia negara ini dengan persembahan konsert hiburan oleh artis popular.
Menerusi hantaran dalam laman sosialnya, beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap acara berlangsung lewat Khamis lalu itu yang dianggap sebagai malam Jumaat bagi umat Islam.
“Cukup-cukuplah hiburan melalaikan. Insafi dan renungi musibah wabak Covid-19. Kembalilah kita semua kepada Tuhan,” jelasnya yang berkongsi kemarahan masyarakat Islam negara ini.
Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik, beliau dipercayai merujuk persembahan julung kali bintang pop indie wanita dari Amerika Syarikat, Billie Eilish di ibu negara pada 18 Ogos lalu. Konsert di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dihadiri lebih 25,000 peminat itu dikecam pelbagai pihak terutama umat Islam sebagai tidak peka suasana Bulan Kebangsaan ketika ini.
Sejumlah 10 konsert bersiri penyanyi antarabangsa termasuk Justin Bieber bakal dibuat secara berturutan di beberapa lokasi tertentu seluruh Malaysia sehingga akhir tahun.
Penganjuran acara hiburan bebas pergaulan itu turut dibantah oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari sambil menyifatkan ‘kerja gila’ serta membangkitkan kemurkaan Allah.
Idris yang juga Naib Presiden Pas memohon semua pihak mesti bersatu dalam ‘bab’ berkenaan.
Dalam nada nasihat, beliau mengingatkan generasi muda khususnya remaja Islam bahawa mereka menjadi harapan negara serta wajar berpendirian dalam menjaga akidah dan iman. – UTUSAN