PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,943 kes berbanding kelmarin, 4,831 kes sekali gus diatasi 4,645 kes sembuh.
Berdasarkan laman web https://covidnow.moh.gov.my hari ini, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 1,035 kes diikuti Kuala Lumpur (953), Sabah (354), Perak (330), Negeri Sembilan (295), Melaka (168), Pinang Pinang (156), Sarawak (129), Johor (118) dan Kedah (103).
Bagi negeri catat bawah 100 kes iaitu Pahang (90), Kelantan (71), Putrajaya (69), Terengganu (40), Labuan (19) dan Perlis, 13 kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 544 orang berbanding kelmarin, 543 orang.
Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 66 kes berbanding jumlah kelmarin, 60 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 45 kes berbanding jumlah kelmarin, 40 kes.
Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 26 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,051 kluster.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan empat kes berbanding jumlah kelmarin, 10 kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,070 kes.
Manakala, satu kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,668 kes. – UTUSAN