Clare sahkan tak pernah minta maaf kepada Sultanah Terengganu - Utusan Malaysia

Clare sahkan tak pernah minta maaf kepada Sultanah Terengganu

CLARE REWCASTLE BROWN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mengesahkan bahawa dia tidak pernah meminta maaf kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Malah, penulis buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose itu menyatakan, perkataan yang dikatakan mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah ‘satu kesalahan yang tidak disengajakan’ (honest mistake).

Clare, 63, yang memberi keterangan secara aplikasi Zoom daripada kediamannya di London memberikan pengesahan tersebut ketika disoal balas oleh peguam, Vishnu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah.

Vishnu: Dalam pernyataan saksi, awak menyatakan awak telah meminta maaf atas kesalahan yang tidak disengajakan ini.

Clare: Betul.

Vishnu: Rujuk surat peguam awak bertarikh 2 Oktober 2018, muka surat 30, perenggan ketiga terakhir, baris pertama, peguam awak menjawab dan menyatakan bahawa awak tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan maaf seperti mana yang awak nyatakan tadi.

Clare: Saya tidak ingat mengenai surat ini. Tetapi kalau ia (surat) mengatakan demikian, maka ia seperti yang dinyatakan.

‘Pengesahan’ berhubung permohonan maaf itu juga terkandung dalam pernyataan saksi Clare sendiri yang menyatakan: “Walaupun tajuk laporan media (menyatakan Clare meminta maaf), saya tidak meminta maaf kepada plaintif yang kononnya saya telah memfitnahnya.”

Keterangan itu diberikan wanita terbabit dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif pada 21 November 2018.

Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

Terdahulu, pada prosiding yang dijalankan pada sebelah pagi, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan bahawa beliau pernah mendapat sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Nur Zahirah berhubung pelantikan Jho Low dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Sebagai individu yang terlibat dalam penubuhan tabung kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) negeri terbabit daripada peringkat awal lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu turut menafikan pembabitan Sultanah Terengganu dalam TIA.

“Saya selaku Ketua Eksekutif Kanan ketika itu yang telah menubuhkan TIA. Memang tidak pernah Sultanah Terengganu terlibat dalam apa-apa jua keputusan dan pertemuan. 

“Saya tidak pernah bertemu dengan Sultanah Terengganu semasa kami (Kerajaan Negeri Terengganu) menubuhkan TIA malah tidak pernah menerima pandangan, nasihat atau apa-apa juga perkara berkaitan TIA.

“Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA itu ditubuhkan, sebab itu saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu lantik Jho Low atau sesiapa sahaja,” katanya ketika disoal peguam plaintif, Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah.

TIA mula ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dan pada ketika itu, Ahmad merupakan Menteri Besar Terengganu. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 12 Mei 2014.

Pada 25 September 2009, TIA telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare telah membuat pernyataan yang memalukan terhadap baginda dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa, kenyataan itu memberi gambaran bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian menjadi 1MDB.

Baginda mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee Abdullah kemudian menetapkan 20 September ini untuk pendengaran hujahan lisan selepas peguam, Americk Singh Sidhu yang mewakili kesemua defendan memaklumkan pihaknya menutup kes mereka selepas saksi kedua mereka selesai memberi keterangan.

Saksi kedua defendan merupakan pengarah syarikat penyuntingan dan penulisan berpangkalan di United Kingdom, John Ellison Kahn. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya