GUA MUSANG: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilahirkan serba kekurangan membuktikan perkara itu bukan halangan buatnya untuk berdikari dan mencari rezeki.
Dengan mengambil upah menjahit pakaian, ia sebagai mata pencarian bagi meneruskan kehidupan.
Nik Suriyati Zakaria, 36, yang merupakan anak peneroka Felda Chiku 5 berkata, dia tidak pernah rasa malu dengan kekurangan diri sebaliknya melihat ia sebagai satu kelebihan.
Menurutnya, sejak di sekolah menengah dia sudah mempunyai kemahiran menjahit pakaian seragam sekolah yang digunakan untuk diri sendiri.
“Minat dan bakat menjahit timbul ketika belajar di Tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku.
“Setelah mendapat dorongan guru, keluarga dan rakan-rakan saya mengikuti kursus di bengkel Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kawasan perumahan sehinggalah mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Nik Suriyati atau selesa disapa Angah memberitahu, pada permulaan kekurangan yang dimiliki membuatkan tenaga pengajar ragu-ragu menerimanya menyertai bengkel menjahit tersebut.
Katanya, sikap tidak mengalah dan sentiasa berusaha menyebabkan dia berjaya menguasai ilmu jahitan bermula dengan memotong kain sehingga ke proses akhir iaitu menjahit dalam tempoh sebulan.
“Bakat yang dimiliki menyebabkan saya layak mendapat bantuan mesin jahit dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengembangkan perusahaan di rumah.
“Saya bersyukur apabila dapat menghasilkan pakaian wanita dan lelaki serta mendapat tempahan antara 10 sehingga 20 pasang baju sebulan. Pada hari raya pula, tempahan pakaian mencecah sehingga 50 pasang,” jelasnya.
Angah yang menerima anugerah Tokoh Usahawan OKU peringkat Kelantan pada April lalu berkata, dia kini memiliki alatan menjahit yang lengkap termasuk mesin butang, mesin sulam berkomputer serta mesin tekap manik.
Katanya, dia berhasrat untuk membuka bengkel menjahit sendiri di rumahnya, namun terbengkalai kerana masih kekurangan modal. – UTUSAN