TAIPING: Seorang ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas direman seminggu bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dipercayai akibat dipukul dalam kejadian Rabu lalu.
Ustaz berusia 25 tahun bersama tiga warden berusia 20, 22 dan 27 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Jumaat depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Adibah Abdul Kadir di Mahkamah Majistret Taiping, di sini
Terdahulu, kesemua suspek yang berpakaian lokap tiba di mahkamah menaiki kenderaan polis pada pukul 9.40 pagi.
Mereka ditangkap semalam susulan kematian lelaki berusia 25 tahun itu yang dijumpai dengan beberapa kesan luka dan lebam di badan.
Lelaki yang juga penghuni pusat pemulihan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik tetamu dengan kaki dan tangannya diikat kain.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, lelaki tersebut diikat bagi mengelakkan dia mengamuk selepas dua kali percubaannya melarikan diri dari pusat pemulihan itu gagal.
Katanya, mangsa juga sebelum itu dikatakan cuba mencederakan seorang warden dengan pisau hingga berlaku pergelutan namun berjaya ditangkap.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan parah bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul,” katanya. – UTUSAN