PETALING JAYA: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) selesai mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam, berhubung kenyataan beliau yang dikatakan berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A. Skandaguru dalam satu kenyataan berkata, Abdul Hadi hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi membantu siasatan bersabit laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Beliau hadir bersama peguam dan memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung,” katanya.
Ia susulan siasatan dijalankan polis berhubung ssekurang-kurangnya 28 laporan polis yang diterima terhadap Ahli Parlimen Marang itu.
Siasatan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan pada minggu lalu berkata, memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia.
Katanya, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.
Tambah Abdul Hadi, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera. – UTUSAN