Bukan jenis ‘tumpang’ duit suami – Mawar Rashid - Utusan Malaysia

Bukan jenis ‘tumpang’ duit suami – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini nama pelakon, Mawar Rashid tular di media sosial. Semuanya gara-gara perkongsian video dia dan rakan artis lain menikmati hidangan stik bernilai RM10,000 di restoran mewah milik tukang masak terkenal, Salt Bae di London.

Lantas perkongsian itu menimbulkan cakapcakap belakang, Mawar kini sudah bergelar jutawankah? Sementelah, tanpa produk seni, dia mampu hidup mewah kerana perniagaannya.

Tidak cukup, ada yang mendakwa dia kini sudah boleh goyang kaki. Maklumlah, suaminya anak orang kaya. Betulkah dakwaan tersebut? Sudah ucap goodbye kepada dunia senikah? Pancaindera mengorek cerita sebenar. Jadi Mawar, jawablah.

ADA yang cakap lama tak nampak Mawar berlakon. Sudah tidak berminat atau sekarang fasa berehat untuk fokus perniagaan dan keluarga?

Kalau kata bersara itu tidaklah, cuma memang Mawar dalam fasa berehat atas sebab tertentu. Kalau ikutkan, tawaran itu memang ada.

Cuma Mawar tak boleh hendak beri komitmen. Ada sebabnya Mawar berehat, cuma nanti bila tiba masa Mawar akan jelaskan.

Ada yang dakwa sekarang Mawar sudah bertaraf jutawan? Sampai tak ada rasa mahu berlakon? Perniagaan pun semakin berkembang pesat ya?
Kalau mengaku nanti cakap angkat bakul sendiri pula. Cuma, bagi Mawar, rezeki yang ada ini sudah cukup membahagiakan.

Sejak awal penglibatan dalam dunia seni, Mawar sudah mula menyimpan sebab kita selalu dengar artis tak banyak duit. Jadi, bila sudah pegang duit sendiri, Mawar mula menyimpan dan berjimat.

Alhamdulillah, perniagaan Mawar juga mendapat sambutan. Apa yang penting adalah fokus kita, financial freedom.

Ada yang mulut jahat cakap, Mawar suka tayang gaya hidup mewah di media sosial sedangkan mereka tak nampak struggle itu?
Apa yang anda lihat itu adalah satu motivasi. Pada usia 26 tahun, Mawar berjaya beli rumah atas nama sendiri. Itu satu perkongsian untuk memberi inspirasi.

Sehingga hari ini, Mawar masih pakai kereta sama seperti dulu. Tak ada pun hendak beli kereta berjenama mahal. Mawar lebih selesa dengan kehidupan sederhana, yang penting kita tahu menyimpan dan berbelanja dengan berhemah.

Boleh kongsikan momen pahit atau buruk sepanjang memulakan perniagaan? Ada yang dengki?
Mawar selalu dengar, kalau artis berniaga mesti akan berjaya. Tak juga. Ada juga ramai yang bukan selebriti, tetapi berlipat ganda keuntungannya. Berbalik kepada rezeki masing-masing.

Pada tahun pertama, Mawar pernah kerugian hampir RM500,000 selepas botol produk kosmetik pecah. Tetapi, itu adalah cabaran yang perlu ditempuhi. Kita belajar daripada setiap ujian itu.

Bagaimana dengan kehidupan sekarang? Ramai suka melihat Mawar dan suami. Apa rahsia kebahagiaan? Ada perancangan tambah ahli keluarga baharu?

Lima tahun perkahwinan, terlalu singkat untuk berkongsi rahsia. Alhamdulillah, Mawar bahagia. Dalam perkahwinan, tiada satu pun yang mudah.

Setiap kita ada ujian masing-masing. Cuma, yang penting adalah komunikasi antara satu sama lain. Mawar dan Raf selalu memaafkan antara suami isteri serta cuba untuk tidak memendam rasa. Berbincanglah dengan tenang. Soal tambah anak, Mawar terima dengan hati terbuka. Ketika usia muda inilah nak tambah bilangan anak, ye tak?

Selain perniagaan, ada yang mendakwa Mawar hidup senang kerana kekayaan suami? Tak payah kerja susah, duit masuk.
Itu saya ‘pangkah’ 100 peratus! Sejak awal perkenalan, Raf sentiasa cakap, dia bukan orang kaya. Tetapi, sepanjang perkahwinan ini, Mawar tahu dia seorang yang kaya dengan kasih sayang.

Dia tak manjakan Mawar dengan harta benda, cukup dengan kasih sayang. Tetapi, Raf ini suami pemurah.

Dia tahu tanggungjawab sebagai anak, suami dan ayah. Apapun dia beri, tak kira mahal atau tidak, Mawar terima. Dia ikhlas.

Sedih bila ada yang cakap Mawar tumpang duit suami. Sedangkan Mawar separuh nyawa bekerja keras untuk cari duit sendiri. Susah senang itu, Mawar dan suami yang tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya