SERDANG: Rasa asal buah dan khasiatnya masih kekal biarpun ia sudah melalui kaedah pengeringan dua hari di rumah solar.
Itu keunikan buah tangan terbaharu keluaran sebuah syarikat Bumiputera, MFI World Sdn. Bhd. (MFI) menerusi produk buah-buahan kering termasuk nenas, mangga, jambu batu dan lemon.
Lebih menarik, produk buah-buahan kering nenas, jenama Madina itu menarik perhatian ejen pemasar dari Jepun dan mereka menunjukkan minat membawa produk tersebut ke negara mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MFI, Muhammad Rizal Osman berkata, kelmarin beliau menerima kunjungan daripada seorang ejen pemasar dari Jepun dan mereka berminat dengan produk itu.
Katanya, difahamkan tidak banyak produk buah-buahan kering di pasaran tempatan dan jika ada pun ia diimport dari Filipina dan Thailand.
“Namun, apa yang membezakan, produk kami walaupun dikeringkan ia masih lagi ada tekstur buah dan rasanya pula masih ada rasa buah.
“Ejen pemasar dari Jepun itu berminat pasarkan produk itu kerana ia menyihatkan walaupun di bawah kategori makanan ringan,” katanya ketika ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 semalam.
Katanya, melalui kaedah pengeringan itu, setiap sekilogram nenas boleh menghasilkan 100 gram buah dalam bentuk kering.
Muhammad Rizal berkata, walaupun melalui proses pengeringan, khasiat buah itu sendiri kekal antara 90 peratus dan rasa buah asal masih sama.
Beliau yakin mampu memenuhi keperluan eksport berdasarkan peralatan dan rumah solar yang digunapakai ketika ini.
“Saya dimaklumkan, ejen pemasar itu mahu kami memberi maklumat mengenai fakta nutrisi produk buah kering itu kerana orang Jepun lebih suka makanan berkhasiat dan mudah diambil.
“Dengan kilang sedia ada, kami mampu hasilkan 10 tan metrik buah-buahan kering dalam sebulan dan kami menggunakan nanas jenis MD2,” katanya. – UTUSAN