PETALING JAYA: Nooryana Najwa Najib tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kecewa apabila melihat bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi ke penjara bermula hari ini.
Katanya, beliau meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sistem kehakiman negara.
“Maafkan ayah. Mungkin kita tidak cukup berjuang. Mungkin kita terlalu percaya dengan sepenuh hati yang menjadi sebab dan tujuan kita berjuang sejak empat tahun lepas.
“Malangnya, ayah tidak mendapat keadilannya hari ini, kami juga tidak mempunyai peluang untuk berlawan,” katanya melalui akaun Instagram miliknya.
Namun kata Nooryana, perjalanan bapanya tidak berakhir begitu sahaja, walaupun berdepan hukuman 12 tahun penjara.
“Bossku tidak berakhir di sini. Saya janji kepada ayah yang Mummy, Ashman, Abang Jaja, saya, keluarga tidak akan pernah berhenti sehingga ayah selamat kembali bersama kami dan keadilan ditegakkan.
“Kami sangat berbangga dengan ayah. Saya akan berpegang kepada kata-kata hikmah ayah, mereka boleh mengawal segala-galanya tetapi mereka tidak dapat mengawal emosi dan kekuatan kita.
“Tabahkan diri, Allah bersamamu ayahku. Sentiasa bersamamu, untuk sekarang dan selamanya,” katanya. – UTUSAN